Kami amat berbesar hati atas kehadiran Menteri Pengangkutan Sarawak, YB Dato Sri Lee Kim Shin, pada majlis pelancaran STEM Playground Miri 2024 yang diadakan di Pustaka Negeri Sarawak, Miri hari ini.

Dalam ucapannya, YB Dato Sri Lee menekankan kepentingan STEM sebagai pemacu utama ekonomi baharu, memupuk pencipta, penginovasi dan penyelesai masalah.

“Melihat kepada ekonomi Sarawak yang berlandaskan inisiatif ekonomi hijau yang menumpukan kepada usaha menangani perubahan iklim seperti tenaga boleh diperbaharui, ekopelancongan, pertanian mampan dan sebagainya, adalah sangat penting untuk kita mempersiapkan para pelajar dengan pengetahuan yang berkaitan dalam bidang ini supaya mereka bersedia untuk alam pekerjaan yang mungkin memerlukan pakar-pakar dalam bidang ekonomi hijau pada masa depan.

“Bidang kerja yang akan wujud pada masa akan datang adalah berasaskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI). Dalam mencapai status sebuah negara maju, peluang pekerjaan berasaskan STI juga akan bertambah dan memerlukan kepakaran yang perlu dibina dan dipupuk dari awal. Oleh itu, kita perlu mengutamakan pendidikan STEM,” kata YB Dato Sri Lee.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Encik James Mackester Simoli, mewakili Majlis Bandaraya Miri; Encik Alfean Aziz, Ketua Seksyen Inovasi, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD); Ts. Haswan Razak, Ketua Inovasi dan Keusahawanan, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC); Pengurus Kanan TEGAS Community Innovative Learning (TCIL), mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Encik Fredick Kevin Buseli; dan Pengurus Wilayah, Pustaka Negeri Sarawak Miri Encik Razak Rambili.

YB Dato Sri Lee juga berkesempatan melawat kawasan pameran. Pada hari pertama, kami disertai oleh 1,000 pelajar dari sekolah-sekolah sekitar Miri dan program berlangsung sehingga jam 5 petang. Untuk maklumat lanjut, layari halaman media sosial kami.

#digitalinnovation4all
#innovatesarawak