Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Yang Berhormat, Datuk Haji Len Talif Salleh, merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TEGAS, merasmikan jerayawara Pro-DR Sarikei, dengan dihadiri 360 pelajar dari sekolah-sekolah di kawasan Sarikei.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Tuan Haji Udin Bujang; Penolong Pegawai Tadbir Residen Bahagian Sarikei, mewakili Residen Sarikei, Encik Moses Ta’ai; Pegawai Daerah Sarikei, Encik Louis Yeo Soon Guan; dan Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei, Encik Lau Ngie Tung.

Bercakap kepada rakan-rakan media yang hadir selepas majlis pelancaran, Datuk Len menekankan inisiatif pendidikan percuma menjelang 2026 seperti yang diumumkan oleh YAB Premier, di mana setiap anak Sarawak dapat menikmati pendidikan percuma di universiti milik Sarawak seperti Curtin University Malaysia Kampus Sarawak, Swinburne University of Technology Kampus Sarawak, Centre of Technology Excellence Sarawak (Centexs) dan Kolej Universiti i-CATS.

Beliau menambah, tujuan Jerayawara Pro-DR di Sarikei hari ini adalah untuk menyampaikan maklumat berkaitan dan terkini yang disediakan daripada agensi dan institusi yang mengambil bahagian kepada setiap kanak-kanak, ibu bapa dan guru di Sarikei.

“Justeru, program pada hari ini bertujuan menyampaikan maklumat bersama anak-anak, ibu bapa dan guru-guru di luar bandar serta diberi pendedahan terkini dengan kemudahan yang disediakan kerajaan Sarawak, bukan sahaja dari segi inisiatif pendidikan percuma,” kata YB. Datuk Len.

Pelbagai aktiviti menarik menanti di sebelah petang nanti.
#digitalinnovation4all
#innovatesarawak
#prodr2024