Yang Berhormat Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah TEGAS merangkap Timbalan Menteri Pengangkutan (Jalan Raya dan Penerbangan), merasmikan pusingan kedua jerayawara yang diadakan di Dewan Masyarakat Siburan.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Tuan Haji Udin Bujang; Puan Suzana Anak Pidan, mewakili Pegawai Residen Serian; Pemangku Pegawai Daerah Serian, Encik Ranum Bari; dan Pegawai Pendidikan Serian, Encik Bunsie Tunton.
Dalam ucapannya, YB Datuk Dr Jerip berkata sebagai Timbalan Pengerusi, beliau sentiasa menyokong sebarang program berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh TEGAS dan pada masa yang sama, menekankan kepentingan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dalam menjamin masa depan yang lebih cerah dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak secara menyeluruh.
“Setiap tahun, banyak penambahbaikan telah dilakukan oleh TEGAS dalam memastikan setiap program kekal relevan khusus untuk masyarakat di Sarawak. Tahniah sekali lagi kepada TEAM TEGAS.
“Oleh itu, saya amat mengesyorkan kepada adik – adik sekalian supaya jangan berputus asa di dalam menimba ilmu dan sentiasa melengkapkan diri dengan kemahiran digital yang amat diperlukan pada zaman sekarang. Ambil lah peluang yang ada hari ini dengan menanyakan institusi – institusi yang ada tentang kursus yang ditawarkan oleh mereka bagi menentukan hala tuju Pendidikan anda seterusnya,” kata YB Datuk Dr Jerip.
Terdahulu, Tuan Haji Udin turut berucap, dengan menekankan kelimpahan maklumat terkini yang disediakan oleh agensi dan institusi yang mengambil bahagian untuk pelajar.
“Maklumat ini penting kerana terdapat pelbagai kursus terkini yang berkait rapat dengan pasaran kerja masa kini,” kata Tuan Haji Udin.
Aktiviti menarik menanti sepanjang petang ini, dengan Kejohanan Mobile Legend Bang Bang, pertandingan karaoke dan sesi cabutan bertuah bakal berlangsung.
#digitalinnovation4all
#innovatesarawak
#prodr2024