Pihak TEGAS Community Innovative Learning (TCIL) telah dijemput oleh Panitia Sains Sekolah Kebangsaan Satria Jaya, Kuching untuk sama-sama mengadakan program STEM pada 14hb & 15hb November 2023.
Hari pertama program telah disertai seramai 500 orang murid, manakala pada hari kedua pula menyaksikan penyertaan 200 orang pelajar Tahun 5 & Tahun 6. Para pelajar telah didedahkan dengan aktiviti teknologi digital seperti pengendalian dron, 3D pen, dan menerokai dunia maya dengan menggunakan VR headset. Pada masa yang sama, murid Sekolah Kebangsaan Satria Jaya juga dapat mempelajari konsep coding yang mudah dengan menggunakan robot mTiny dan pengujian pemahaman Matematik melalui permainan Lonpos.
Penganjuran pameran ini bertujuan untuk memberi pendedahan menyeluruh dan menarik minat kepada para pendidik dan juga murid terhadap bidang STEM.
Pameran ini diakhiri pada hari kedua, 15 November 2023 dengan majlis penutupan bersama guru besar SK Satria Jaya, Cikgu Roseline Anthony Ajang yang menggalakkan para murid untuk menceburi bidang STEM. Cikgu Roseline juga berharap pihak TCIL dapat lagi datang ke SK Satria Jaya pada tahun depan untuk memupuk minat para murid ke arah pembelajaran STEM.
Terima kasih kepada semua warga Sekolah Kebangsaaan Satria Jaya atas sambutan yang sangat menggalakkan dan semoga usaha ini dapat memupuk lebih ramai murid memilih bidang STEM pada masa hadapan kelak.